Wednesday, 12 June 2013

Sahabat Sejati atau Sahabat yang Menjaga Hati


Dilema. Satu perkataan yang mampu menerangkan rasa hatinya yang bergolak itu. Riak wajahnya tidak setenang, seceria selalu. Setiap yang memandangnya mampu mengagak bahawa muslimah yang sopan bertudung labuh itu sedang memikirkan sesuatu.


“ Ira, enti ada apa-apa masalah ker? Kalau tidak keberatan, boleh ana tahu? “, tegur Farha, rakan sekuliahnya.


“ Eh, takde apa-apa laa Farha. Ana okay je, enti tak payah risau ye. Agaknya ana stress sikit dengan imtihan minggu depan”, balas Ira menyedapkan hati Farha.


“Farha, ana gerak ke surau dulu laa. Mungkin ana boleh tenangkan diri ni dulu. Enti ada meeting kan lepas ni? Ana gerak dulu ye, assalamualaikum.”


“Waalaikumussalam”, jawab Farha.


Di surau, Ira menunaikan solat fardhu zohor. Suasana di situ tenang sekali. Kala itu, dia berdoa memohon petunjuk daripada-Nya. Rintihannya syahdu sekali, manik-manik jernih dibiarkan mengalir. Dia benar-benar di persimpangan.


Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku. Ya Allah, saat ini aku menadah tangan memohon kepada-Mu. Berilah aku kekuatan dalam menghadapi dugaan-Mu ini Ya Allah. Aku lemah Ya Allah, jangan Engkau tinggalkan aku. Bimbing aku dalam menghadapi ujian-Mu ini. Berikanlah aku kekuatan Ya Allah. Aku ingin menjadi seorang sahabat yang sejati, bukan hanya menjadi sahabat yang menjaga hati. Aku ingin kami bersama-sama masuk ke dalam Jannah-Mu. Bantulah aku Ya Rabb. Ameen Ya Rabbal ‘Alamin.


Mukanya ditekup dengan kedua telapak tangannya. Hatinya sayu. Jam tangannya dikerling, hampir menunjukkan jam 3. Tidak sedar rasanya masa begitu cepat berlalu. Fikirnya, baru beberapa minit yang lepas dia melangkah masuk ke surau itu.


Ah, tidak mengapa. Alhamdulillah, ketenangan itu milikku kini, bisiknya dalam hati.


Langkahnya laju menuju asrama AKHAWAT. Tempat dia dan sahabat-sahabatnya yang lain tinggal usai tamat kuliah. Lantas Ira menuju ke biliknya. Farha tiada, begitu juga Mira.


Ira mengambil kesempatan itu menyelesaikan assigntment yang diterimanaya pagi tadi sementara ada masa yang terluang. Alunan zikir yang dialunkan melalui pemain mp3 miliknya menambah rasa tenang di hati. Sesekali matanya tertarik melihat burung-burung berterbangan di luar melalui tingkap biliknya. Alangkah indahnya hidup mereka.


Sedang dia leka melihatkan gelagat burung-burung itu, NOKIA 2630 miliknya berbunyi menandakan ada mesej masuk. Dikerling, melihat siapa gerangan penghantar mesej. Malas rasanya untuk melayan mesej yang tidak penting.


1 New Message from Mira


NOKIA 2630 itu dicapai. Mesej dibuka.


“ Ira, Mira sedih la. Sedih sangat, rasa nak nangis ni. Sampai hati Hafiz buat Mira macam ni. Mira kecewa.”


Mesej yang diterima daripada Mira pendek, namun cukup untuk meragut ketenangan hatinya tadi. Ira berfikir sejenak. Lantas dia menaip membalas mesej Mira.


“Assalamualaikum, Mira. Ana tahu Mira sedih. Tapi Mira kan ada Allah. Hafiz tinggalkan Mira tapi Allah selalu ada untuk Mira. Mira balik bilik cepat ye, Ira ada sesuatu nak bincang dengan Mira.”


Butang send ditekan. Kali ini Ira tekad. Mira adalah sahabatnya, Insyaallah sampai syurga. Dia yakin sudah sampai masanya dia meluahkan apa yang dipendam selama ini.


Sementara menanti Mira pulang, Ira berfikir panjang. Dia mencari-cari ayat yang sesuai, agar sahabatnya itu tidak terasa hati nanti dengan tuturnya. Benarlah kata orang, lebih sukar untuk menegur sahabat sendiri daripada menegur orang lain.


Namun, Ira teringat kata-kata murabbinya sewaktu perjumpaan usrah yang lepas. Lembut nasihatnya, namun menusuk ke kalbu.


“Seorang sahabat itu bukan yang sentiasa membenarkan segala perbuatan dan tutur katanya namun, seorang sahabat itu adalah seseorang yang mampu menegur salah silap kita, bimbing kita sama-sama ke syurga. Jangan jadi sahabat yang menjaga hati je, ingat tu!”


Ya, aku sahabat Mira. Aku mesti tegur salah dia, monolog Ira sendirian.


Ira bermenung, jauh sekali. Memikirkan Farha, sahabatnya itu tidak pernah berbicara soal cinta. Namun Ira tahu, jauh di sudut hatinya Farha cuba membina kekuatan untuk terus bangkit, tabah. Farha mempunyai kisahnya yang tersendiri, namun disimpan. Erat. Saban malam, Ira pernah terdengar rintihan yang syahdu daripada Farha, bermunajat pada Allah. Segala suka duka hidupnya diluahkan hanya kepada-Nya.


Dahulu, sewaktu Ira baru mula mengenali Farha dia berasa agak hairan. Farha jarang menangis, payah sekali meluahkan masalah yang dihadapinya kepada sesiapa. Dia selalu menjadi pendengar setia bagi sahabat-sahabatnya yang lain, namun segala rasa hatinya disimpan.


“Ira, ana memang bukan jenis yang luah masalah dekat orang. Enti jangan pelik pulak sebab tak pernah nampak ana menangis ker. Ana luah semuanya dekat Dia, sebab Dia sebaik-baik pendengar. Ira pun tahu kan? Harap enti faham, jangan terasa hati pulak”, luah Farha suatu hari.


Ira faham, dan kini dia turut merasainya. Pabila ujian datang bertimpa-timpa, berat mana pun ujian itu, cerita dekat Dia. Dia lebih memahami kita. Ira banyak belajar daripada Farha, Alhamdulillah.


Pintu bilik diketuk, mematikan lamunan Ira. Astaghfirullahal’azim, jauh aku termenung, bisik hatinya. Dia menyambut Mira di muka pintu.


“Assalamualaikum Mira, balik pun enti. Senyumlah sikit”, sapa Ira.


“Waalaikumussalam, memang laa Mira balik.”, mukanya cuba mengukir senyum.


“Alaa, Mira ni macam senyum kena paksa je. Tak suka tengok Ira yang lawa ni ker? “, usik Ira lagi.


“Alalala, mengada. Nah, senyuman paling manis sekali untuk Ira”, balas Mira. Bibirnya mengukir senyum, manis sekali. Ira memang pandai memujuk, bisiknya.


“Haa, kan comel macam tuh. Hee, Mira jom kita solat asar dulu. Tenagkan hati sikit. Kita date dengan Allah :)”, ajak Ira.


***

Malam itu indah. Bulan penuh, langit pula dihiasi bintang-bintang. Subhanallah, indah sekali ciptaan Allah. Farha sudah pun melelapkan matanya, mungkin kepenatan. Ira memerhati Mira dari meja belajarnya. Niatnya mesti diteruskan, lantas dia menghampiri sahabatnya itu.


“Mira, Ira nak cakap something dengan enti ni.”, Ira memulakan perbualan.


“Ape dia Ira? Cakaplah”


“Ira harap Mira tak terasa, ambil hati dengan apa yang Ira nak cakap ni. Ira rasa, enti terlalu berlembut dengan banin laa. Tak, maksud Ira macam ni. Kita nih sebagai wanita muslimah, kena tegas sikit. Kita ni fitnah Mira. Enti tak boleh terlalu lembut dengan banin. Ira faham, hati enti memang macam tu. Tapi, Ira harap enti cuba kuat. Jangan mudah beri hati enti dekat banin. Nanti enti cepat kecewa. Ira faham, fitrah ingin disayangi dan menyayangi tu ada. Ira pun rasa macam tu. Tapi Mira, Allah kan dah aturkan yang terbaik. Yakin janji Dia Mira.”, ucap Ira. Cuba menyusun kata.


“Maksud Ira? Mira tak faham sangatlah. Berlembut macam mana ni?”, soal Mira bingung.


“Ira nak mintak maaf dekat Mira. Hari tu waktu enti suruh Ira update facebook Mira, Ira ade terbaca mesej Mira dengan seorang banin ni. Ira rasa tak sesuai kalau enti borak-borak dengan banin macam tu. Mungkin laa banin tu memang ada hati dengan enti, tapi malu kena seiring dengan tingkah kita Mira. Ira takut pandangan banin tu jadi lain bila enti cakap macam tu. Ira mintak maaf. Ira sayang Mira, Ira tak nak enti terus hidup macam ni. Ira tak sampai hati tengok sahabat yang Ira sayang, sedih-sedih, kecewa sebab cinta. Mira, andai betul banin tu nak bimbing enti, nak Mira jadi isteri dia, dia akan jumpa wali enti. Dan itulah yang terbaik, percaya cakap Ira. Ira sayang enti Mira”, lantas Mira dipeluk.


Air mata Mira menitis tatkala dirinya erat dalam dakapan Ira. Terharu, satu rasa yang menggambarkan rasa hatinya. Bersyukur mempunyai sahabat yang menyedarkan dirinya daripada kesalahannnya.


***


Dan kini hatinya lebih tenang, sejak peristiwa malam itu. Tiada lagi kusut dalam fikirannya tentang soal cinta. Alhamdulillah, syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi. Sekeping kad kecil pemberian Ira itu ditatap. Sungguh bermakna titipan kata itu buat dirinya.


“Allah itu lebih dekat dari urat leher kita dan perhatian-Nya tidak pernah terputus walaupun sesaat. Sesungguhnya, Dia tidak pernah mencabut sesuatu daripada kita kecuali menggantikan dengan yang lebih baik namun itu terjadi apabila kita redha dengan segala ketentuan yang telah ditakdirkan. Belajarlah melupakan, betapa pun berat dan sakit yang dialami. Ingatlah, kita masih ada al-Quran, masih ada doa, masih ada solat dan masih ada ruang berbuat baik untuk membaiki kesilapan masa lalu.”


Ringkas ayatnya, tapi sarat dengan mesej yang ingin disampaikan. Dan kini Mira yakin, Allah itu sentiasa bersama hamba-hamba-Nya, tidak kira apa jua keadaan. Cinta Allah itu lebih indah, tidak akan pernah wujud rasa kecewa. Mira ingin ditemukan dengan cinta itu melalui cintanya kepada Yang Hakiki. Subhanallah, terasa damai sekali hati. Syukran Ira, uhibbuki fillah, bisik hatinya.

No comments:

Post a Comment